DINGINNYA SALJU
Aku merenung jauh ke jendela. Tiba-tiba hatiku terasa sebak mengingati memori lama. Memori yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku.
.................................................................................................................................................
”Tina dari mana kau ni? Asyik merayau saja”, tanya emak pada aku.
Hatiku berdengus panjang.
”Ala mak ni, Tina nak jumpa kawan pun tak boleh”
”Bosanlah asyik duduk dekat rumah je”, bentakku pada emak.
”Bukan emak tak bagi kau jumpe kawan, tapi beringat-ingatlah sikit”
”Ni tidak, bangun pagi je hilang, lepas maghrib baru nak balik”, membebel emakku.
Jiwa aku memberontak
”Mak ni asyik membebel je. Sebab tulah Tina tak suka duduk di rumah”
”Cubalah mak faham Tina sikit”, balas aku lagi.
Aku membentak sambil meninggalkan emak yang terpaku dengan jawapan aku. Aku menghempaskan pintu bilik tanda memberontak. Aku tidak hiraukan perasaan emak yang mungkin terluka dengan perangaiku.
.................................................................................................................................................
Namaku Tina, berumur 16 tahun. Begitulah sikapku terhadap emak setiap kali dia menegur perangaiku itu. Aku sering kali melawan emakku. Bagiku, emak tidak pernah sayang pada aku. Apa yang aku buat semua tidak kena di matanya.
Aku selalu merayau dan melepak bersama-sama teman baikku, Ila dan Sarah. Kami selalu meluangkan masa bersama-sama jika ada masa terluang. Emak selalu menegur dan memarahi sikapku yang suka merayau dan tidak mendengar kata itu.
.................................................................................................................................................
Satu perkara yang membuatkan aku selalu melawan emak adalah sebab emak selalu membeza-bezakan antara aku dan kakak.
”Tina, cubalah kau tengok kakak kau ni selalu rajin tolong emak”,cakap emak padaku.
”Uhhhh...”,aku mendengus panjang.
”Emak ni kenapa suka nak bandingkan Tina dengan kakak?”
”Tina dan kakak lain! Tina tak sukalah mak nak bandingkan kami”,bentak aku kepada emak.
Aku terus berlalu keluar meninggalkan emak yang menggelengkan kepala melihat perangaiku yang tidak mendengar kata itu. Aku terus keluar berjumpa kawan-kawanku.
”Menyampah betullah emak aku ni, setiap kali aku balik je nak membebel”
”Lepas tu nak bezakan aku dengan kakak aku. Menyampah betul”, aku meluahkan perasaan pada teman-temanku.
”Yeke. Emak kau sayangkan kau tu”, kata Sarah.
”Sayang ape? Asyik nak membebel je”, balas aku.
”Tak baik kau cakap macam tu kat mak kau. Cuba kau beritahu elok-elok yang kau nak jumpa kami”, kata Ila pula.
”Emak aku tak kisah pun aku nak jumpa dengan kau dan Sarah”, kata Ila lagi.
”Beruntunglah kau dan Sarah dapat emak yang memahami. Tak macam emak aku,asyik nak cari salah aku je”, balas aku pada teman-temanku.
Aku meluahkan perasaan pada teman-temanku. Mereka hanya setia mendengar luahan hatiku.
Pada suatu hari, aku, Ila dan Sarah membuat rancangan untuk pergi mandi-manda di air terjun berdekatan di kampung kami. Aku pun beritahu emak untuk meminta keizinan.
”Mak, Tina, Ila dan Sarah nak pergi mandi di air terjun di hujung kampung. Boleh ye mak?”, aku meminta keizinan daripada emak.
”Em, tak payahlah Tina. Bahaya air terjun tu. Lagi pun sekarang kan musim hujan dan airnya deras”, emak membalas.
”Ala emak ni, Tina nak pergi dengan kawan-kawan pun tak boleh”, aku membalas dalam keadaan marah.
”Bukan emak tak bagi Tina pergi, tapi tempat itu bahaya”
”Cubalah dengar cakap emak ni Tina”, balas emak.
Aku bertambah bengang pada emak.
”Ini yang Tina tak nak minta izin dari emak, Tina tahu emak tak akan bagi punya”, bentak aku.
Aku berlalu meninggalkan emak dan terus berjumpa kawan-kawanku. Aku meneruskan niat kami ke air terjun itu walaupun tanpa keizinan emak. Sepanjang perjalanan, kami bernyanyi dan bergelak ketawa bersama-sama.
Tiba-tiba...aku terpijak batu yang licin dan aku tergelincir ke dalam arus sungai yang deras. Aku tidak dapat nak mengawal keadaan dan menjerit meminta tolong.
”Tolong...tolong..!”aku menjerit.
Ila dan Sarah pun tidak dapat membantu aku kerana air sungai terlalu deras. Ketika hampir lemas, aku teringat segala perbuatan salahku terhadap emak. Aku banyak buat salah pada emak. Aku tidak dapat nak bertahan lagi dan aku rasa ajalku sudah tiba.
”Emak, ampunkan Tina....”, aku merintih dalam hati dan segala-galanya menjadi gelap.
.................................................................................................................................................
”Eh, di mana aku ni?”, aku kebingungan. Aku sekarang berada di dalam sebuah bilik yang asing bagiku.
”Tina, anak emak dah bangun”
”Syukur alhamdulillah Tina dah sedar”, kata emak padaku yang masih kebingungan.
Menurut emak, aku telah diselamatkan oleh salah seorang pemuda kampung yang kebetulan berada di tempat kejadian. Sudah hampir tiga hari aku tidak sedarkan diri. Kakakku memberitahu, sepanjang aku tidak sedarkan diri, emak tidak henti-henti menangis dan berdoa agar aku selamat. Aku terasa sangat terharu dan sedih. Kini aku sedar segala kesilapanku dan berjanji pada diriku untuk menjadi anak yang taat kepada emakku. Kini, aku bukan Tina yang dulu lagi.aku sudah banyak berubah.
.................................................................................................................................................
”Ibu...kenapa ibu menangis?”tanya anak kecilku Balqis.
Aku tersenyum dan memeluk erat anakku yang berusia empat tahun. Kini sudah hampir dua tahun pemergian emak dan aku masih ingat kata-kata emak..
”Tina, seorang emak tidak pernah membenci anaknya. Segala tegurannya adalah demi kebaikan anak-anaknya. Apabila Tina sudah menjadi seorang ibu nanti Tina akan lebih mengerti”, pesan emak padaku.
Setelah bergelar ibu, aku mengerti maksud kata-kata emak dan aku berjanji pada diriku untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang baik demi keluargaku yang tercinta. Amin...